Mimpi dan Rindu -Selamat Hari Ibu kepada seluruh IbuBapa di kampung atau Bandar-

Sejak kelmarin nafas ku tidak tersusun. Jantung ku terdesak seolah disalut ikatan kejam dari bayangan entah datang dari mana. Ku cuba hitungkan masa, detik, waktu. Bilangan jari jemariku masih cukup. Tidak keruan aku dibuatnya dengan keresahan ini.

Sebelum kelmarin juga, terserempak dengan seorang gadis. Gadis yang sudah lama aku kenali. Detik pertemuan kami tetap tidak terhakis dalam memori ku. Penuh dengan keberanian aku menilai antara kami. Dan tidak pernah pula songsang ikatan kami. Kasih sayang yang dipupuk memetraikan janji kehidupan kami.

Mungkin ekoran dari inilah kegundahan terundang. Menjadi aku semakin tidak keruan. Bukan dari bayang-bayang dia!, tetapi satu objek simbolik dari lakaran perasaan ku. Wajah yang amat samar. Juga dari tautan kasih sayang yang teramat membahagiakan kami. Lebih berani lagi aku mengumumkan kepada siapa saja. Juga lebih mulia aku memelihara kehidupan kami. Janji yang telah dimetrai juga lebih kukuh dari si gadis itu. Ingatan ku semakin segar setelah mana ketidak keruan ku ditanda tangani dalam mimpi ku semalam.

Cantik. Bertudung lingkup ke paras pusat. Tudung yang amat cerah dengan warna coklat-coklat bertompok. Berbaju jubah turkey yang menjadi trend pakaian sekarang. Masih cantik dan amat menarik dari sebelumnya. Suasana di sekelilingnya turut berseri pengaruh dengan kebenderangnya.

Ukiran senyumannya membuatkan aku tidak sabar memeluknya. Agaknya sudah lama tidak ketemu. Bibir tidak bergincu yang masih tersusun indah bersenyum memandang diri ku. Mungkin tanda selamat pulang atau sudah lama dia menantikan aku. Hanya isyarat yang diberikannya kepada ku tanpa dengar sapaan manja suara merdunya.

Hatiku semakin menguntum mekar. Rindu dengan senyumannya. Resah jika senyuman itu sunyi dari pandangan ku. Tidak semudah itu aku ingin perolehnya. Saat itu sahaja. Agak lama sangat tidak aku memandang dan merasai keadaan sedemikian.

“Aku merindui mu”. Tika itu hatiku berbisik. Mungkin aku tidak berani meluahkan kerinduan ku ini. Atas alasan???… Entah! Kerna egois aku atau sesuatu yang memustahilkan aku untuk bersuara. Ini mungkin menjadi jawapan aku. Jawapan yang tidak dipengaruhi unsur-unsur alasan. Ya, jawapan.

Aku masih ingat banyak sejarah manis dan pahit. Hempedu yang ku lemparkan kepadanya tidak ku harapkan dia masih ingat. Madu yang ku salutkan dalam hidupnya juga tidak ku minta balas. Yang pasti banyak sejarah luka yang ku selarkan pada hatinya. Aku menjadi berdosa. Juga antara pendurhaka dosa besar.

Tidak mungkin kali ini aku mengulangi sejarah hitam ku. Tidak mungkin juga akan datang aku menyalat luka lamanya. Selama tiga tahu mungkin rasanya tidak lama aku tinggalkannya. Aku lukakannya. Aku resahkannya. Tetapi aku sedar hatiku dan hatinya memberontak kerinduan.

Nasib menyebelahi kami berkeadaan sedemikian. Tetapi tidak aku sahaja, kerna lumrah hidup sememangnya begini. Manusia yang lain juga seperti aku. Menanggung penderitaan rindu. Rindu.. rindu sesama manusia. Semua punya hati dan perasaan ini. Yang penting ‘rindu itu’ tidak pernah lekang rindu kita kepada Yang Esa.

Nasib juga ke atas ku, kesan didik selama tumbesaran hidup, aku termampu bertongkat keimanan selama ini. Aku bisa normal tidak memberontak. Rindu hatiku tidak aku emosikan dengan jiwa remaja ku. Rindu ku dibiuskan dengan ubat ‘kesabaran’ yang aku pelajari dari mereka.

Jasa mereka tetap menjadi amalan hidupku. Menjadi aturcara hidupku kini dan kelak nanti. Tetapi kini, aku kelihatan bagai orang yang bermuram durjana dari pihak lahiri. Aku juga keliru dengan gembira ku dengan pertemuan semalam. Germbirakah atau makin terbeban dengan sedih kerinduan? Tidak tahu yang mana satu milik hati ku kini. Kedua-duanya bersimpul padu dalam ikatan kejam amal hidupku.

Episod silam yang penuh kemungkaran masih kekal berperanan dalam benak kotor hatiku. Aku lawan cakapnya. Aku binasakan harapannya. Aku siksa batinnya. Aku cuba bersikap si penjahat memusnahkan kehidupannya. Aku seolah tidak punya akal menilai layanan juga tanggungjawabnya. Aku juga menyalahi tatasusila karier hidup ku.

Kini aku aku kenali dan sedari wajar hidupku. Aku fahami apa dari peraturanNYA: “Tuhanmu memerintahkan supaya jangalah kamu sembah kecuali Dia, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika seseorang di antara keduanya telah tua, jangan lah engkau katakan “cis” kepada keduanya dan jangan pula engkau herdik keduanya dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yg mulia.” al-Isra’ 23.

Begitu beharga benar kemuliaan mereka. Sehingga sekecil-kecil sikap telah diaturcarakan kepada manusia. Aku juga manusia yang ingin dipimpin dalam aturcaraNYA. Tidak pula aku mensia-siakan hidup ku dari kawalanNYA. Mengherdik, cela, hina, bantah, cemuh adalah sifat keji yang tidak relevan bagi orang seperti aku beramal. Aku banyak berdosa dan melukakan perasaannya.

Sebagai seorang manusia yang tidak pernah terbiar dari kesilapan pasti berduka-cita bila sedar. Perilaku dahulu mengecewakan diri ku dan orang ramai. Aku tidak mahu dicela, dihina, dibantah dan dikejikan sebagaimana kesilapan ku dulu. Aku ingin menjadi seorang yang pasti dijanjikan olehNYA syurga.

Beban mereka terhadap ku dahulu tidak mungkin aku terbalas. Mereka juga tidak mahu aku ingat jasa mereka. Tetapi inginkan kebahagiaan hanya dalam hidupku. Tidak tahu-lah kalau dalam hidup manusia yang lain. Pengorbanan sakit tika tangisan aku berkeliaran di ruang rumah usang di Jalan Langgar Kota Bharu itu tetap tidak aku rasai. Perjudian masa tika aku asyik menangis di waktu malam tetap berlainan apabila aku punya keluarga seperti mereka. Susuan yang telah diberikan kepada ku hingga tempoh dua tahun tidak akan aku dapat ulangi dalam hidup ku kelak.

Tanggungjawapnya tersusun rapi dalam menyayangi ku. Dia telah melangsai tanggungjawabnya. “Ibu bapa itu menyusukan anak-anaknya dua tahun genap. Bagi orang yang menghendaki akan menyempurnakan susuan.” al-Baqarah:233.

Semuanya tidak aku berbalas. Aku manusia kerdil hanya meminta belas kasihan sedangkan tuba yang akan melayan mereka. Banyak dosa perlu aku langsaikan. Tetapi mereka telah sempurna langsaikan urusannya.

“Ah!”. Segalanya aku ingin lemparkan ke lembah kegelapan. Tidak mahu aku campur adukkan keruan ku itu. Aku hanya ingin kongsikan kegembiraan ku semalam. Biar bersinar hidupku dalam membentuk kehidupan ku di esok dan kemudian nanti.

Tapi setelah semalam, setelah terjaga dari lena diri ku berani menakluk egois jahil ku. Sekian lama aku mengguris hatinya, tetapi dia tetap sabar bersenyum terhadap ku. Manis bibirnya masih jelas dalam minda ku kini. Luka lamanya tidak mewatakkan seorang yang luka perasaan. Dia persis seorang ‘Maharani Mahkota’ menyambut puteranya dengan berkuda putih di singgah sana milik istana yang besar.

Titir kemegahan seorang ibu tidak mudah terhakis dengan dengki pembalasan dahulu. Seorang yang menjamin kebahagiaan hidup kita. Seorang yang tidak pernah terlupa kasih sayangnya. Kerna “syurga berada di bawah tapak kaki ibu”. Aku percaya dan yakini dari nasihat ini.

Besok masih aku mengharapkan seperti semalam. Biar hadir di setiap lena tidurku. Biar membungkam kesedaran yang utuh. Biar tautan yang tidak aku eratkan sebelum ini direalisasikan tika jiwa remaja ku ini masih bersemangat. Aku tidak mahu seperti orang yang sudah ketelanjuran baharu sedar akan hakikatnya. Hari ini semakin meletakkan jiwa kerdilku menjadi seorang yang kehausan menebus dosa-dosa dahulu. Berilah peluang untuk ku. “Aku semakin merindui mu”.

Suatu hari aku akan kembali berbakti kepada mu. Segala keruncingan diri ku akan ku tebus demi kasih sayang antara kita. “Maafkan diri ku”. Mungkin tidak sebeban engkau untuk menerima ucapan mudah ku ini. Tetapi engkau lebih memahami perasaan ku. Aku pasti memperjuangkan karier ku sebagai seorang anak yang mampu membahagiakan apa itu erti ‘kasih sayang’. “Selamat Hari Ibu, Mama”. Engkaulah bonda ku yang tercinta.

Paichowan, Cairo

Hari IBU. 21.03.03

Advertisements

One Response to “”

  1. duwenk anak mak… hehe.. sho shweet… =)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: