……Pembakar Biadap- Dua Tuan yang masih lagi berfantasi dgn nafsu…………………………………

Helai demi helai buku diselak. Paksa, tapi tidak gopoh menjamah makanan otak ku. Mata masih lagi liar meneliti setiap perenggan pengisi ruang buku tersebut. “Kaki Langit Peradaban Islam”, karangan dari Cak Nur atau dikenali Nurcholis Madjid. Jari jemari ku masih lagi lembut menyelak helaian buku tersebut. Tidak tahu di mana titik mula untuk menjinak minda ku ini. Mata masih lagi di ruang permukaan buku, namun minda ku tidak cuba berkongsi untuk mencuri ide-ide dari buku itu bagi membincangkan sama dalam pergolakkan minda.

Hati gusar tidak teramat. Tetapi masih lagi sedar, berdaya, berkuasa menentukan hasil rasional hati ku. Akan tetapi, terasa tempias luka-luka dari blok Asia Barat sana sangat menyegat sanubari ku. Bayangan dan dari mata hati tidak pernah lupa gambar-gambar yang acap-kali keluar dari ruangan televisyen. Sekali tengok kecut, dua kali tengok bersemangat, tiga kali tengok risau, empat kali dan seterusnya masih berfikir. Fikir jalan mana yang wajar bagi aku. Aku yang masih lagi di medan juang ku. Sehingga kini, hanya seorang yang mengharapkan belas ihsan dari sesiapa yang punya upaya merungkaikan persoalan ini.

Anak-anak mereka sudahpun lebih berjiwa besar dari aku, ingin juga menentang. Ibu-ibu mereka kekal bersemangat memikul senjata, bahkan hati telah bersepakat ikut beban dari perjuangan Saidatina Khadijah. Pemuda-pemuda mereka lebih matang dari kehidupan ku, kita, kita semua. Bapa-bapa mereka pula, tidak pernah mencemuh dari apa yang dihadapkan oleh mereka. Bahkan sama-sama mengorak pembentukkan kualiti diri dan sama-sama bergandingan melawan cabaran demi menuntut maruah keluarga, bangsa dan negara. Tidak pernah pula mengabaikan dari setiap peringkat lapisan masyarakat. Tetap juga, di bibir-bibir mereka sering dengan kalimat yang menggerunkan para musuh -“Allah Akbar, Allah Akbar, Allah Akbar”(Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar).

Hati mereka keluli bagi musuh. Hati mereka lasak dari pergolakkan sekeliling. Hati mereka kebal dan senantiasa merdeka dari penaklukkan musuh. Tidak dijajah seperti negara-negara lain. Negara umat Islam yang lain. Tetapi keyakinan mereka pada 1991 masih subur membiak bertukar ganti di setiap musim. Makin bersemi dengan obor-obor keimanan. Ketaqwaan yang tidak pernah disia-siakan selama telunjuk keimanan masih lagi benar menentang pihak yang salah.

Walaupun harta benda, rumah, pakaian, anak-anak sehinggakan terabai pendidikkan mereka dan apa lagi bentuk material -mereka sedar sekalipun kesempurnaan sedemikian mereka miliki namun, yang paling utama adalah hati dan akidah mereka tidak lesu. Tidak tunduk dengan objek sementara ini. Mereka yakin dan beriman dengan janji-janji Allah. Dan mereka tahu siapa yang berhak menghukum siapa. Mereka juga, pandai sepertimana menentang kepandaian peranan licik ‘mereka’.

Kesan ragut di bumi Afghan tidak pernah pula gentarkan mereka. Tika kejatuhan Afghanistan mereka sudah fahami apa maksud disebalik dari pihak musuh. Pengganas? Kontrol dunia? Penjajahan? Perluasan empayer? memusnahkan Islam? Minyak? atau masih ada alasan lain? Atau masih berdendam dari kekalahan dahulu? Semuanya merangkumi pemahaman yang satu walaupun ribuan alasan dikemukakan -iaitu ‘kuasa’. Kerana disebabkan kuasalah akan menghancurkan seluruh isi dunia.

Tetapi mereka tidak pernah takut pada ‘Kuasa Gila’ itu. ‘Kuasa gila’ dan ‘gila kuasa’ satu sifat yang memang menjadi ‘candu’ kepada mereka yang tidak punya akal normal. Mungkin ini salah satu langkah mereka setelah mana perang industri pada pasca globalisasi sudah tidak ada daya saing. Ataupun takut daya saing milik Islam yang kian menuju ke era kebangkitan, ataupun tanggapan mereka dengan bahaya umat Islam setelah mana diciptakan ungkapan “Islamfobia’ dari para orientalis Barat.

Semuanya adalah tanggapan curi dari seorang seperti aku. Adakala benar dan tidak. Sedangkan segalanya sudah berlaku dan kini semakin celaru. Aku pun tidak pasti adakah bertanggapan sebegini wajar bagi ku, atau masih ada inasiatif lain untuk aku berimaginasi? Memang benar ‘Kuasa gila’ yang berlaku di sana membuatkan peribadi manusia sudah runtuh. Sudah melampaui batas. Kurang akal dari dua orang manusia yang sudah kurang ajar atau lebih kasar ‘Biadap’ -tidak beradab.

Kadang kala aku juga bermuhasabah pada diri ku. “Beranikah aku”. Sama sekali jiwa ku kini akan membantah; “Tidak, aku tidak berani”. Sungguh lemah sekali jiwa ku ini. Rasa kosong, kontang, kering sehingga merekah di dataran keimanan ku. Jika hendak di bandingkan dengan mereka yang berjuang mempertahankan negara di sana, jauh tak tercapai di langit.

“Bagaimana pula jika negara mu sedemikian?”…. Sengaja aku melemparkan imaginasi ku di kedamian milik kita umat Malaysia. Segalanya indah, aman, sentosa, cuma kekadang keriuhan dari agenda masyarakat juga dari agenda politik merisaukan juga. Walaupun hanya ribut manja dihadapkan kita, Malaysia masih aman, terjaga, tidak tersiksa sederita di sana. “Tapi satu hari kan tiba…”. Kerana manusia akhir zaman menjadi semakin tidak keruan dan manusia moden kembali di zaman jahiliyah moden.

Paichowan, Cairo

28.03.03

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: