Rabun epi-1 (Prolog)

JAUH

Jauh. Sudut sana tak jelas pun. Kabur melihat sebatang tubuh terkijal-kinjal menerpa ke arahnya. Tidak nampak seperti tubuh itu resah, hanya terpanya longlai. Jarak antaranya dengan si tubuh itu lebih kurang 1000meter. Dan adat akan sering menjangka dengan teka-teki, adakah dia itu seorang wanita atau lelaki sepertinya. Siapa gerangan. Ada apakah yang berlaku. Kenapa tidak saja melaung dari jauh memberi sahutan tanda. Untuk kenal pasti. Puing-puing teka teki masih menjalar di fikir. Dia yang rabun.

Mungkin saja lelaki itu sudah kenalannya. Memberi berita ataupun ingin mengajaknya membuang masa di pasar raya, warung Pak Mas’ud di hujung sana. Atau memasang pukat di sungai jalanan yang begitu banyak ikan-ikan yang jelita. Barangkali, dia juga antara pelukis-pelukis alam di kertas putih. Menjadi baris, berlipat-lipat, bait berperenggan untuk dinyanyikan oleh jiwa yang tersentuh..

Dia mengerutkan dahi lagi. Kerutan setebal 0.0009cm di dahinya tidak mengganggu rupanya yang agak sawo matang. Sedikit jerawat manja di pipi kanan-kirinya. Alis matanya seperti anak gotik. Agak lebam dan ini bukan disebabkan ditumbuk, tapi darah nasab kata orang dari bangsa Arab. Anak cicik,cucuk,cacik S.Jihan. Riwayat cinta antara Raja Jihan+Puteri Taj Mahal. Itu kata orang. Raut wajah yang agak membujur juga ada iris keturunan itu. Dia sendiri ketawa bila tahu ini dongeng untuk riwayat hidupnya yang tidak seagung sejarah Taj Mahal.

Dia masih memerhati akan tibanya tubuh itu. Merayau untuk menangkap tubuh itu. Matanya cuba menggenggam tubuh itu. Di kiri-kanan perjalanan tubuh itu agak suam-suam petang. Tiada banyak yang lalu lalang. Lebih lagi hari ini di kampung hujung sana tengah riuh berkenduri. Ramai orang kampungnya juga ke sana. Belatuk petang turut sunyi untuk bertukang. Hanya ngiang-ngiang suara hening menunggu jasadnya menanti tubuh kecil itu.

Dalam fikirnya masih mempunyai falsafah hidup. Fenomena dengan perasaannya pada tika ini. Sosio manusia juga berkait rapat dalam menanggapi sesuatu perkara. Tidak kira soal manusia, sistem, peradaban, budaya, keilmuan sendiri yang masih samar-samar seperti dirnya melihat tubuh itu yang jauh. Tanggapan berbagai-bagai jenis akan muncul dalam fikir, mencipta teori, membuat kesimpulan, dan terjadinya hukum atas rukun-rukun tanggapan. Adakah dia seorang lelaki atau perempuan, berbaju baru atau lusuh, kenalan atau musuh.

Boleh jadi segala fikirnya atau tanggapannya akan jadi benar, realistik. Tidak mustahil juga segalanya akan tersasar menjadi fitnah, hukuman songsang, atau kerana prejudis dan salah sangka, segala tanggapan akan meleset tanpa disedari. Makin parah kalau segalanya sudah dikunyah menjadi darah daging, ideologi, akidah atau keyakinannya. Tapi, penantian untuk lebih jelas lagi mengakui siapa tubuh itu akan tiba sebentar lagi. Harus dipasti..

“OoOOOO.. kau Hussain. Ingat ke siapa tadi”, dari jauh dia cuba untuk menyapa. Menjawab segala soalan dan tanggapan yang pelbagai rupa. Kelihatan Hussain sempat senyum riang memerhati temannya begitu gopoh melambai tangan.

“Oiii.. salam la dulu.. hahah.. Assalamualaikum!!” Hussain yang ketawa membuang sedih makin terkinjal-kinjal menuju temannya. Dua teman itu agak mesra dan mereka berbalas senyuman memberi interaksi dari jarak yang tidak lagi jauh. Semakin jelas..

“Hahhh.. Meet Uncle Hussain ehh? aku la.. Hhahahah”, Hussain sekali lagi ketawa terkehik-kehik bersalaman dengan teman yang dari tadi terpinga-pinga mengecam tubuhnya.

Mereka di bawah rimbunan pohon rambutan berbual mesra. Tiada resah jiwa.

Leave a comment