Archive for December, 2007

Rabun epi- 5

Posted in Novel- Rabun on December 13, 2007 by duwenk

(With Love)

Awan tebal berarak. Menutup sebahagian langit yang sudah beberapa hari mendung. Cahaya pun agak malu untuk bersemuka dengan bumi. Membiarkan bumi akan dibasuhi lagi luka-lukanya. Derita panasnya. Sakit perit karenah penduduknya. Malah, sebahagian tubuhnya sudahpun kering. Kontang. Merekah sana sini seperti bangunan-bangunan yang tumbuh lewat modenisasi kini tidak berapa kukuh. Terlalu manja menahan terikan matahari, basahan hujan. Adakala tidak menentu suhu pembiakan benih-benih galian. Tapi, pakar geogologi ada menyebut, hakisan salji di kutub utura semakin meningkat. Dan peratusan tanah-tanah yang dulu luas sudah menjadi sebahagian lautan di dunia. Sambung menyambung. Di nusantra juga.

Mungkin awan lebih bersedia menghirup semua air-air di bumi. Biar hamil segunung Uhud sekalipun. Biar ianya menggendong seperti nazaknya seorang ibu membawa anak dalam kandungan. Seperti sang tua memikul berguni-guni beras untuk makanan anak-anaknya, atau untuk jualan di pasar. Seperti Saidina Muhammad s.a.w memikul sebesar tanggung jawab demi membela umatnya. Tidak, tidak sama sekali seperti baginda. Tapi, tanggungjawab awan tetap tidak dapat dirasakan oleh manusia. Manusia hanya senyum bermain-main di bawahnya. Bergembira tak rasa ada sesuatu yang berlaku nanti.

Tapi, awan akan penat, bila monsun Tengkujuh datang. Angin dari sebelah barat akan menjalar ke Asia. Bermula dari sini lah, matahari seperti tidak mahu lagi berkongsi derita dengan manusia. Atau matahari sendiri tahu akibatnya bila Tengkujuh sudah tiba. Lain sudut, matahari tidak mahu cahayanya akan mencairkan lagi kutub-kutub salji. Tidak mahu manusia akan tenggelam dengan lautan yang makin menjajah. Matahari malah lebih rela dipisahkan dengan awan-awan gemuk. Menghalang permukaannya yang sentiasa senyum pada bumi. Sentiasa memberi kebaikan pada bumi. Sentiasa memberi cahaya untuk manusia. Matahari tidak zalim.

Hussain hanya menggarukan kepalanya. Pada musim beginilah kegembiraan waktu kecilnya akan kembali terhidang. Bermain ikan laga, mandi air banjir, menangkap ikan, hujan yang tak henti-henti membuatkan dirinya digeletek untuk bermesra dengan hujan. Sakit demam dia takkan hirau. Imam Said kerap kali memarahinya kalau-kalau bermain hujan. Katanya nanti demam. Susah nak carikan ubat. Ubat pun mahal. Nak keluar pekan sana, jauh. Hospital kerajaan pun selalu kena beratur panjang. Layanan pula tidak begitu mesra. Selalu masam-masam dan marah-marah kepada anak kecil kalau-kalau ada sakit. Itu Imam Said jarang sekali ke hospital kalau ada yang sakit. Dia lebih suka membuat air jampi. Ditiupkan kedalam air putih. Berkumat-kumit dibibirnya. Hussain selalu melihat jampi-jampi Imam Said sejak dari kecil. Setiap orang yang datang pasti akan menyebut “air tawar”. Waktu dia sakit pun dia kena minum.

Dia senyum sendiri. Imam Said adalah keluar tunggalnya. Mak Salma sudah tiada waktu dia baru tiga tahun sahaja dibela Imam Said. Dulu, Mak Salma yang selalu buat makan-makan untuknya. Pada mulanya dia susah untuk makan-minum di rumah keluarga angkatnya itu. Dia pun tidak tahu, ibunya entah kemana. Imam Said menjumpainya di lorong hujung sana. Itupun kata Imam Said. Dia sedang tidur waktu itu dengan seberkas pakaian. Tapi, sekarang pakaian itu tiada lagi. Dibuat alas lap kaki dan sekarang pun tidak muat. Kecil sangat. Tapi, dia tak nak pikirkan pasal ibu asalnya. Mak Salma adalah ibu baiknya. Tapi, hanya tiga tahun, Mak Salma tetap jadi ibunya. Dia tidak hiraukan kata mereka bahawa kesakitan seorang ibu mengandungkan seorang amat amatlah perit dan disebabkan itulah syurga di bawah tapak kaki ibu. Tapi, dia tiada iman soal itu. Imannya hanya Mak Salma lah segalanya. Imam Said pula, seorang ayah yang bertanggung jawab. Amat bertanggung jawab.

Hujan masih lebat di luar. Air bah yang dijangka akan melimpahi kampungnya masih dinanti-nanti. Biarlah rezeki tidak memihak kepadanya bila sahaja hujan turun lebat, paling kurang, dia dapat meredakan hatinya pada ingatan-ingatan waktu kecilnya. Dia pernah mendengar dari Gibran bahawa, waktu kecil manusia inilah yang disebut-sebut dalam kitab hindu dengan penjelmaan baru buat manusia. Kalau orang hindu akan beriman dengan penjelmaan dilain zaman. Dilahirkan kembali. Dan segala urusan yang tidak beres, akan diselesaikan lewat penjelmaan ini. Dia pun sering melihat cerita-cerita hindustan. Aha, selalu ada kisah-kisah penjelmaan. Tapi,semuanya jenis episod tragis. Kisah cinta yang terhalang, dendam, permusuhan dari zaman ke zaman. Kadang-kadang mengarut sangat. Tapi, dia tahu Gibran selalu kata “general knowladge”. Susah difahami. Khilaf dengan adat. Lain dari ilmu yang Imam Said ajarkan. Gibran pernah cakap bahawa dia adalah Liberal. Tapi bukan post-liberal. Atau dia pun bukan jenis orang-orang liberal kat Malaysia ni. Hussain hanya menggaru kepalanya yang tidak gatal, dalam hatinya hanya ketawa. Sedikit pun dia tak faham dengan dunia kawan rapatnya ini. Apa itu liberal? Apa General Knowladge? Post-liberal? orang-orang liberal di Malaysia? Maksudnya?. Hussain diam sahaja.

Dia tidak mahu berakidah seperti kata-kata Gibran itu. Tentang orang-orang hindu. Dia tak nak dilahirkan kembali. Dia tak ada dendam untuk menyelesaikan segala perkara yang berlaku. Dia tidak mahu sedikitpun mengingatkan soal asal usul dirinya. Bosan. Malas. Tak ada untungnya. Dunia sudahpun bertukar sejak kecil lagi. Sudah diberi tuhan segalanya. Mak Salma, Imam Said, Gibran, anak Siak Pahim; si Kemboja, Musa, anak paling kecil peninggalan Iman Said dan Mak Salma. Musa kini pun sudah besar, tinggal di asrama, di kota. Kata Gibran, lebih satu jam setengah dari tempat tinggal Gibran. Kalau menaiki kereta ulat panjang, mungkin hanya satu jam. ‘Kereta ulat panjang’. Dia sendiri tidak pasti. Katanya seperti ular, menjalar-jalar atas ril. Macam keretapi. Tapi tiada bunyi pekikan “poomm poomm”. Terbayang lagak Gibran dengan memek muka seperti badut mengembungkan mulutnya. Lucu..

Baru bulan lepas, Gibran pulang lagi. Lama-lama sekali. Setiap kali Gibran pulang, dirinya akan lebih terisi. Banyak perkara akan diceritakan kepadanya. Soal di kota sana. Soal kehidupan di sana. Membuka fikirannya. Banyak untungnya kalau sering sahaja bersama Gibran. Paling pasti, dia amat suka bila Gibran akan merekayasa cerita-cerita rakyat. Kehidupan yang mempunyai kaitan antara manusia. Kisah perjuangan, kematian, huru-hara, polemik sosial, politik; yang kadang-kadang dia hanya menadahkan telinga. Ada yang terlekat pada jaring-jaring pendengarannya. Kefahamannya. Ada yang lolos dan terbuang. Bagaikan omongan kosong sahaja. Seperti Gibran hanya berbicara dengan tunggul batu di bawah pohon rambutan sana. Tapi dia tetap setia untuk dengar.

Gibran amat pandai. Dari kecil dia lebih pantas untuk tahu banyak hal. Sekali sebut sahaja, dia pasti dapat mengulangi beratus-ratus kali. kadang-kadang cemburu sebab tidak sempat menangkap apa yang di pesan Imam Said. Tapi, bila waktu berjalan, bermain, berlari-lari pada waktu petang atau malam, Gibran selalu mengungkit kembali cerita-cerita Imam Said. Hingga sekarang pun, suka saja Gibran bercerita sana sini. Cerita masa lalu atau tanggapan masa hadapan untuk kampungnya, umat negaranya. Gibran seorang pejuang. Seorang sahabat yang baik. Seorang adik yang tak malu untuk mengaku abangnya ini anak kampung. Tak pernah tau soal luar, hanya lewat mulutnya sahaja dia tahu. Gibran baik dengan ahli keluarganya.

Paling dia suka, bila saja Gibran akan berfalsafah. Bercerita mewakili alam. Mengenai sawah bendang yang dipijaknya hari-hari. Pasal kehijauan, bukit di hujung sana. Bila langit cerah-cerah, fikirannya makin terbuka. Meneliti satu persatu rawakan awan. Ada ketika, awan membentuk seperti si tua yang angkuh buncit. Gibran melakarkan imaginasi lucu untuk diketawakan. Si tua itu sedang memegang tombol matahari yang panas. Tapi si tua itu tetap aman. Tiada sakit. Tetap berlagak angkuh dengan perut yang membonjol gendut. Putih dan kelabu bertompok-tompok. Ada kebiruan langit yang habis sebahagian permukaan langit di kuasainya. Bermaharaja lela.

Tapi, bila hujan datang. Dia pasti mengungkit kembali imaginasinya tempoh hari. Bercanda memeriahkan suasana. Katanya “si Tua itu menangis. Wangnya di curi orang. Hartanya di bawa angin. Hilang bersama air-air yang turun ke bumi. Kau yang dapat rezekinya. Kita. Mereka ramai lagi. Penternak, penanam sayur di kampung ini. Petani, sawah kau juga takkan kering. Dapat hasil. Tak payah rugikan minyak petrol untuk hidupkan penyedut air. Biar saja Tuhan memberi air itu. Turun dari langit. Brummm brummm!!!”. Sambil ketawa dia menyambung lagi,”Perutnya pasti menyusut jadi ranting-ranting kering. Keding seperti lidi”. Hahhahah. Mereka ketawa bersama.

Pada waktu malam, di kaki lima surau, tepi kediaman mereka (iaitu rumah Imam Said), Gibran selalu menyuruhnya menghitung bintang. Mengira berkali-kali sampai naik gila. Ada ketika, dirinya merasakan dungu sangat apabila disuruh Gibran mengira bintang. Tanpa berpikiran panjang, dia mengira dengan menghitung jari-jemarinya. Tanpa sedar, Gibran ketawa terbahak-bahak melihat telatahnya yang terlalu bendul dalam hal-hal yang seharusnya dapat dipikirkan. Gelagak mereka mencuit hati. Tapi, kenangan itu manis buatnya. Dia akan merindui bintang-bintang yang banyak. Bertaburan di angkasa. Menanti manusia supaya mengait satu persatu. Di jadikan batu permata. Buat kalung untuk sang kekasih. Mungkin saja, jika dia mampu mengambilnya satu, ingin saja diberikan kepada Kemboja. Anak Siak Pahim.

Kalau mengikut Gibran, cerita kekasihnya sering diungkap melalui cahaya bulan. Kelip-kelip bintang. Atau romantika waktu fajar pagi, selepas subuh. Sebagai bidadari. Bidadari yang turun dari syurga. Setiap kali Gibran menceritakan kisah cintanya, dia akan melongo terpukau. Asyik dengan intuisi khayalan Gibran. Jalan ceritanya. Simbol yang digarapkan begitu indah buat bidadarinya. Sesekali ada juga ia bertanyakan tentang Bidadari itu. Sejauhmana pandangan asal dari mata lain. Mata manusia melihat bidadari itu? Adakah bidadari itu bersifat halusinasi atau bayang-bayang malam? Kerap kali, apabila Gibran menceritakannya, agak kabur. Tak jelas. Rabun. Tidak pasti, adakah bidadari hanyalah istilah bombastik atau sememangnya bidadari bersifat manusia. Cantik, indah, kayangan, mawar atau kuntum yang membugarkan mata, hati, jiwa seorang pencinta?

Tapi, apabila bertanyakan tentang kekasihnya, dia suka bermadah. Memberi gambaran yang makin menebal keagungan cintanya. Meleraikan maksud cinta melalui bahasa-bahasa jiwa, alam, kehidupan, manusia serta makhluk lainnya. Membina tembok-tembok yang makin mengukuhkan ikatan cintanya. Memuji ke langit tinggi tentang keindahan raut wajahnya. Bidadari. Fahaman manusia juga akan terpukau bila saja disebut bidadari. Malah dari syurga pula. Hussain masih tidak pasti. Adakah wajahnya berseri-seri. Bercahaya seperti mitos Puteri dari kaum bunian? Atau bercahaya hingga membutakan mata manusia melihat kejelitaannya. Mungkin saja kalau mampu diadaptasi menjadi filem-filem barat, bidadari yang mempunya sinar kemuliaan. Terbang seperti malaikat. Indah, bahagia, mempunyai sayap-sayap putih bagi melindungi manusia. Kekerdilan manusia. Kehausan cinta seorang manusia. Itu fikirnya.

Akan tetapi, sejauh mana Hussain mengingati gambaran yang diberikan Gibran, tetap tidak tercapai di akalnya. Gibran lebih bijak memukau orang. Bertatih kata melalui bahasa. Bercambur gaya mempengaruhi suasana. Mengakar indah sampai ke jiwa jika dia tidak menghentikan cerita-cerita fantasinya. Tapi, dia suka melihat Gibran gila sebegini. Banyak hasil untuk orang sepertinya. Untuk dia mengatur bahasa apabila berdepan dengan Kemboja nanti. Supaya Kemboja lebih yakin terhadapnya. Supaya sampai cintanya pada Kemboja. Supaya matang akal cintannya. Agar juga Kemboja membuka pintu hatinya. Sering dia melatih dihadapan cermin mengungkapkan kata-kata buat bayangan si Kemboja.

“Aku takut untuk membicarakannya”. Di hadapan cermin Hussain berdiri sendiri. Melihat wajahnya yang kurus. Tiada manusia yang ghairah melihatnya. Apatah lagi Kemboja. Anak Siak Paham di hujung kampung sana.

Advertisements