Archive for February, 2009

Valentines Day

Posted in Love with tags on February 13, 2009 by duwenk

Dia melihat langit. Cerah. Bulan sedang kembang senyum. Penuh di kedua mata hitamnya. Bintang-bintang sungguh cantik menghiasi dada langit. Itu bisik hatinya.

Tidakkah malam ini semua pasangan ternanti-nanti untuk bergembira. ‘Hari Kekasih’. Bintang dengan bulan. Langit dengan bumi. Angin pula tidak pernah lekang di atmosfera kejadian ini. Gelap malam sebegini, kunang-kunang juga turut mencari pasangan untuk meraikan ‘Hari Kekasih’. Tetapi, katak tidak menyeru langit supaya turunkan hujan. Tidakkah katak mencari hujan jika ada resah dalam hidupnya.

Mungkin tidak semua yang meraikan hari sebegini. Kerana katak barangkali sahaja sudah hidup senang tanpa kekasihnya hujan. Orang-orang yang resah, gelisah selalunya akan merayu-damping dengan kekasihnya, untuk mengadu-domba, luah rasa, cari ketenangan atau melepas geram sekalipun. Itu sikap dan sifat orang yang berkasih sayang. Tetapi malam ini, dia hanya tahu melihat tubuh langit yang tidak pernah bertiang menjunjung bumi.

Hari ini, berjuta-juta kalimah cinta akan berpuisi lagi. Diucap mesra oleh beberapa lagi siri Romeo dan Juliet, atau Rumi dan Juli dalam versi Melayu Moden. Boleh juga terciptanya lagi watak Uda dan Dara, dan lakaran kisah-kisah cinta manusia yang sejak kewujudan manusia. Tapi, ada juga yang songsang menolak cinta. Menjadi episod-episod kehidupan semakin rumit dan berwarna-warni. Tidakkah setiap waktu yang berjalan, apa sahaja boleh berlaku terhadap diri manusia.

Selain itu, ada juga yang melarang sambutan hari sebegini. Kerana sebahagian kajian para ilmuan bahawa perayaan ini berasal dari keramaian mengingati Si Paderi yang mati dibakar. Mawar merah yang menjadi perantaraan para kekasih di ‘Hari Kekasih’ sempena pengucapan hari keagungan perjuangannya.

Dia sendiri tidak pasti akan kisah sebenar. Di bawah langit tenang ini, fikirannya hanya berfantasi untuk terbang sambil mengucap salam kepada setiap bintang-bintang di langit. Sekalipun ada larangan menegah salur hidup manusia, punca niat dan hala tuju sesuatu perkara adalah amat penting difahami oleh manusia. Seperti ucapan doa ketika sebelum ingin meniup lilin di harijadi.

Tetapi sejauh mana manusia berfalsafah, dia tidak pedulikan semuanya. Baginya, ‘Hari Kekasih’, hanya mainan untuk manusia. Hiburan kepada yang sering lupa. Perayaan kepada yang selalu tukar pasangan cinta. Kerana, kisah cintanya adalah berlaku pada tiap-tiap hari untuk mengingati sang kekasih.

Kajang
Selangor